*/
top of page
  • Instagram
  • Facebook
  • Youtube
  • TikTok
  • Writer's pictureSekretariat Festival Turath Islami Selangor 2024

Festival himpun mashaf ratusan tahun, talaqqi Hadis 40, konsert nasyid

May 24, 2024 10:00 am

Oleh NADIAH ZAMLUS, Ihsan Selangor Kini.


Bekas Mufti Besar Mesir Prof Dr Ali Jum’ah Muhammad Abdul Wahab menyampaikan syarahan Sama’ Sifat Nabi SAW dan Ijazah Hadis Musalsal ketika Festival Turath Islami Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 23 Mei 2023.

Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI


Lebih 20 ulama terkenal dan bijak pandai Islam termasuk dari Mesir, Thailand dan Indonesia sekali lagi berkumpul di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam bersempena Festival Turath Islami Selangor.


Berlangsung antara 26 Mei hingga 2 Jun, perhimpunan selama lapan hari itu menyaksikan pengajian lengkap kitab tersohor Hadis 40 karya Imam an-Nawawi, tokoh ulama ahli sunnah dan mazhab Syafie yang dikenali seluruh dunia.


Festival turath kali ini membuka peluang kepada peserta menadah kitab dan mendengar syarahan dalam lebih 30 sesi bersama tokoh agama terpilih, antaranya bekas Mufti Besar Mesir Prof Dr Ali Jum’ah Muhammad Abdul Wahab.


Ketika festival pertama, antara 20-25 Mei 2023, beliau menghuraikan tema utama Ihya Ulumuddin, karya agung Imam al-Ghazali yang kini dalam proses penterjemahan kepada bahasa Melayu. Lima daripada 20 jilid terjemahan Ihya Ulumuddin akan dilancarkan di festival itu pada 1 Jun bersama buku karangan Dr Ali Jum’ah iaitu 40 Hadis Imam Nawawi: Sebuah Huraian untuk Dunia Semasa.


Empat acara menarik Festival Turath Islami Selangor dan pengisiannya diringkaskan seperti di bawah. Peserta juga boleh layari www.turathislamiselangor.com atau Facebook Festival Turath Islami Selangor.


Nama program: Daurah Hadis 40 (12 sesi)

Tarikh: 26 Mei hingga 30 Mei

Lokasi: Dewan Solat Utama, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah


Ulama antarabangsa paling dihormati, Dr Ali Jum’ah bakal mengupas kitab Hadis 40 Imam an-Nawawi. Peserta program berpeluang mengaji kitab hadis penting membahaskan perkara usul dan sendi agama secara talaqqi daripada ulama terbaik dunia.



“Dalam pengajian bentuk ini (talaqqi), Dr Ali Jum’ah akan membaca kitab dan menghuraikan satu-persatu isinya (Hadis 40). Beliau akan memimpin 12 sesi pengajian sehingga khatam.

“Menariknya, daurah ini juga diselang seli dengan sesi ulasan beberapa tokoh agama, antaranya Habib Ali Zaenal Abidin, Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil dan tokoh ulama Pattani, Baba Ghazali Ahmad,” kata Pengarah Sekretariat Festival Turath Islami Selangor Farhan Affandi pada 19 Mei. Dr Ali Jum’ah tokoh berjasa menghidupkan kembali pengajian kitab secara talaqqi sejak 1998 di Masjid Kaherah, Mesir walau sibuk dengan tugasan sebagai pensyarah Universiti Al-Azhar.


“Ini kerana baginya, sistem tradisional dapat memberi kefahaman lebih mendalam kepada murid-murid berbanding sistem yang diamalkan di universiti,” tambah Farhan.


Kitab Hadis 40 diangkat semula Kementerian Pendidikan sebagai teks pengajian di sekolah menengah. Karya ulama besar bidang hadis dan pakar fiqah mazhab Syafie itu menghimpunkan 42 hadis penting.


Himpunan ini mencakupi kehidupan umat Islam dari sudut akhlak, akidah, hukum dan amal soleh. Karya beliau sangat popular sehingga diterjemah, dihafal dan dipelajari dalam pelbagai bahasa di universiti, masjid, pondok dan pesantren di seluruh dunia.


Nama program: Seminar Penghayatan Riyadhu as-Salihin

Tarikh: 1 Jun hingga 2 Jun 2024

Lokasi: Dewan Orkid, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah


Tokoh ulama dan cendekiawan dari empat negara antara yang akan membahaskan mahakarya Imam an-Nawawi, kitab Riyadhu as-Salihin. Masing-masing akan membahaskan tema tertentu berdasarkan ilmu dan kearifan tentang kitab tersebut.



Terdapat lima sesi syarahan berkaitan kitab menghimpunkan 1,896 hadis Nabi Muhammad SAW merangkumi aspek kehidupan muslim seperti soal kepercayaan, perilaku, adab dan tatacara ibadat.


Sesi itu termasuk Peradaban Akhlak dari Riyadhu as-Salihin, dan pembentukan nilai masyarakat muslim dalam sejarah juga peranan wanita mengikut perspektif tradisi.

Kemudian diikuti Memanfaatkan Riyadhu as-Salihin untuk mengatasi kemelut kerohanian muslim moden dan Feqh Kenegaraan: Ibrah Nabawiah.


Seminar ini juga akan diisi dengan sesi perbualan khas yang julung-julung kali diadakan antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama bekas Dr Ali Jum’ah dan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.


Ketiga-tiga tokoh itu akan berbincang tentang Imam an- Nawawi dan kitab Riyadhu as-Salihin.

Tokoh lain turut sama adalah Prof Datuk Dr Muhammad Nur Manuty, Dr KH Marzuki Wahid, Prof Dr Habib Sayyed Abdul Hamid Ali Al-Mahdaly, Ustaz Tarmizi Abdul Wahid, Sahibus Samahah Dato’ Setia Prof Madya Dr Anhar Opir dan Baba Ghazali Ahmad Al-Fathoni.


Nama program: Pameran al-Wahyu

Tarikh: 26 Mei hingga 2 Jun

Lokasi: Dewan Seminar, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah


Menerusi pameran yang julung kali diadakan ini, orang ramai berpeluang melihat secara langsung manuskrip al-Quran tulisan tangan berusia hampir 400 tahun dibawa dari Muzium Al-Quran Narrathiwat, Thailand.


Selain daripada mashaf al-Quran, terdapat juga manuskrip tulisan Sheikh Daud Al-Fatani, ulama besar Pattani yang berusia hampir 300 tahun dipamerkan.



Bagi menjayakan pameran berkenaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memeterai perjanjian perlesenan dengan Pusat Penyelidikan Selangor bagi mempamer naskhah dan manuskrip berusia ratusan tahun menerusi festival tersebut.


Ketua Pusat Penyelidikan Manuskrip Alam Melayu, Institut Alam dan Tamadun Melayu UKM Dr Ros Mahwati Ahmad Zakaria berkata tambah menarik al-Quran bertinta emas dihasilkan ketika pemerintahan Sultan Terengganu ke-9 juga dipamer.


“Pusat penyelidikan kami menggarap konsep pameran ini dengan memberi perspektif baharu bahawa ilmu turath didefinasikan sebagai ilmu warisan yang mana periwayatan sanadnya bersambung kepada Rasulullah SAW dalam konteks yang lebih luas,” katanya.


Nama program: Konsert Kesenian Islam oleh Abu Shaar Bro

Tarikh: 1 JunLokasi: Dataran Karnival, pekarangan Stadium Shah Alam

Nama program: Darul Ehsan Berselawat dan Maulid Akbar

Tarikh: 2 JunLokasi: Dataran Karnival, pekarangan Stadium Shah Alam


Kumpulan nasyid terkenal Syria, Abu Shaar Bro serta kumpulan nasyid dari Indonesia, Majelis Azzahir pertama kali ditampilkan bagi memeriahkan Festival Turath Islami Selangor tahun ini.

Abu Shaar Bro yang terdiri daripada enam beradik lelaki membawakan lagu nasyid


kontemporari cukup terkenal di tanah Arab. Berasal dari Damsyik, mereka kerap mengadakan persembahan di serata dunia.



“Kali ini mereka dibawakan khusus untuk santapan rohaniah pengunjung festival pada 1 Jun bermula 8 malam. Kemudiannya pada 2 Jun di lokasi dan jam yang sama pula, kita enakkan halwa telinga dengan program Darul Ehsan Berselawat dan Maulid Akbar.


“Untuk itu kita bawa kumpulan Majelis Azzahir dari Pekalongan, Indonesia. Kumpulan dipimpin Habib Ali Zainal Abidin Assegaf ini amat terkenal. Kemunculan mereka di pentas acap kali menarik puluhan ribu hadirin,” kata Pengarah Sekretariat Farhan Affandi.


Tambah Farhan, beliau berharap orang ramai tidak melepaskan peluang menonton persembahan secara langsung kedua-dua acara menarik berkenaan.


“Kita mengharapkan dendangan pelbagai qasidah yang mengagungkan Allah SWT, selawat puji-pujian kepada baginda Rasulullah SAW akan menambah keberkatan festival kali ini,” katanya.


Klik lrantaian di bawah untuk melihat senarai tokoh-tokoh yang terlibat.

91 lihatan

Siaran Terkini

Lihat Semua

Comments


bottom of page