*/
top of page
  • Instagram
  • Facebook
  • Youtube
  • TikTok
  • Writer's pictureSekretariat Festival Turath Islami Selangor 2024

Kumpulan terkenal Syria, Indonesia alun nasyid, qasidah

May 30, 2024  10:00 am

Oleh ABDUL RAHIM SABRI

IHSAN SELANGORKINI.


Kumpulan nasyid terkenal Ikhwah Abu Shaar dari Syria


Festival Turath Islami Selangor bukan sekadar mendalami ilmu tetapi mengingati Allah dan rasul-Nya dalam melalui marhaban, qasidah, selawat dan konsert zikir.


Acara ini disusun berselang-seli dengan sesi menadah kitab Hadis 40 (talaqqi) dan seminar penghayatan Riyadus Salihin, satu lagi karya penting Imam Nawawi.


Hadis 40 dihurai selama lima hari hingga khatam pada malam 30 Mei, sementara perbincangan Riyadus Salihin diadakan dalam lima sesi antara pagi 1 Jun hingga petang 2 Jun.

Semua ini diadakan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.


Kemuncak festival, pada malam 1 Jun, penganjur membawa konsert daripada kumpulan nasyid terkenal Ikhwah Abu Shaar dari Syria (foto 1).


Kumpulan nasyid Majelis Azzahir dari Pekalongan, Indonesia


Keesokannya, Majelis Azzahir (foto 2) dari Pekalongan, Indonesia datang dalam majlis mengingati Rasulullah melalui acara Darul Ehsan Berselawat dan Maulid Akbar.


Kedua-duanya diadakan jam 8 hingga 11 malam di Dataran Karnival, Stadium Shah Alam. Majlis terbuka untuk orang awam ini dijangka menarik ribuan peserta.


Pernah mengadakan persembahan di negara ini, Abu Shaar ditampilkan kali pertama pada festival turath tahun ini. Kini menetap di Mesir, ia ditubuh pada 1983.


Abu Shaar dianggotai 10 orang, termasuk enam beranak yang diketuai bapa mereka Muwaffaq Ahmed Ismail Abu Sha’ar. Berasal dari Damsyik, mereka kerap mengadakan persembahan di serata dunia.


“Kali ini, mereka dibawakan khusus untuk santapan rohani pengunjung festival. Kita juga enakkan halwa telinga dengan program Darul Ehsan Berselawat dan Maulid Akbar.


“Untuk itu kita bawa kumpulan Majelis Azzahir. Dipimpin habib Ali Zainal Abidin Assegaf, kumpulan ini amat terkenal. Kemunculan mereka di pentas acap kali menarik puluhan ribu hadirin,” kata Pengarah Sekretariat Farhan Affandi.


Acara menarik

Beliau berharap orang ramai tidak melepaskan peluang menonton persembahan secara langsung kedua-dua acara menarik berkenaan.


“Kita mengharapkan dendangan pelbagai qasidah yang mengagungkan Allah SWT, selawat puji-pujian kepada baginda Rasulullah SAW akan menambah keberkatan festival kali ini,” katanya.


Kumpulan al-Madad


Selain acara kemuncak ini, festival turath diiringi qasidah kumpulan al-Madad pada 27 Mei. Ditubuhkan pada Julai 2023, lima daripada lapan anggotanya mengalami masalah penglihatan.

Berusia antara 20 hingga 25 tahun, kumpulan itu diketuai Mohamad Syafizwan Mohd Suhaili, muazzin Masjid Negeri, Shah Alam. Beliau bersama empat rakan mengalunkan selawat dan zikir antara Maghrib hingga Isyak.


Dua daripada anggota belajar di Darul Quran, Hulu Selangor. Mereka aktif berqasidah khususnya dalam majlis maulid Nabi SAW.



Pada 28 Mei, para peserta festival turath pula dihidangkan alunan qasidah dan Maulid al-Diya’ al-Lami’ daripada empat ahli kumpulan Darul al-Murtadza di dewan solat utama.



Diasaskan oleh habib Ali Zaenal Abidin al-Hamid pada 2012, kumpulan ini berkhidmat di Majlis Ta’lim Darul Murtadza, persatuan yang aktif dalam aktiviti dakwah khususnya di Lembah Klang.

Mereka memenuhi pelbagai undangan seperti majlis ta’lim, majlis kenduri dan acara keraian. Pada 31 Mei mereka sekali mengalunkan puji-pujian kepada Rasulullah di lokasi sama bermula 7 malam.



52 lihatan

Siaran Terkini

Lihat Semua

Comments


bottom of page