top of page
  • Instagram
  • Facebook
  • Youtube
  • TikTok

Festival Turath Islami Selangor 2024

Festival Turath Islami Selangor (FTIS) diadakan sejak tahun lalu demi menghidupkan kembali turath dalam kehidupan harian umat Islam di Nusantara. Festival yang tercetus daripada gagasan Dato’ Menteri Besar Selangor ini dianjurkan atas keyakinan bahawa turath, istilah yang boleh disimpulkan sebagai “warisan turun-temurun” Islam, adalah penawar terbaik kepada kemelut dunia moden. Antara yang tergolong dalam turath adalah kitab-kitab yang memuatkan kebijaksanaan para ulama terdahulu yang tidak terhakis kehebatannya oleh angin waktu.

FTIS pada tahun ini sekali lagi akan menampilkan tokoh ulama terkemuka dunia, iaitu bekas Mufti Agung Mesir Al-Imam al-Allamah Profesor Dr. Ali Jum’ah.

Sepanjang tempoh festival tahun ini, dijangkakan ratusan ulama dan puluhan ribu peserta dari seluruh pelosok Nusantara akan hadir ke Shah Alam - kehadiran yang pasti membawa rahmat dan berkat tidak terhingga kepada negeri Selangor Darul Ehsan dan sekaligus Malaysia. 

Seperti tahun lalu, festival tahun ini akan mengangkat antara kitab terulung dalam khazanah Islam untuk ditekuni dan dikupas oleh barisan ulama dari dunia Arab dan Nusantara - Jawa, Aceh, Pattani, Singapura dan tentu juga Malaysia. Kitab yang menjadi pilihan penganjur pada tahun ini ialah Riyadhu as-Salihin dan Hadis Empat Puluh karangan Al-Imam Yahya bin Sharaf al-Nawawi.

Terdapat dua acara baru bakal diperkenalkan dalam festival tahun ini, iaitu konsert lagu Islami oleh kumpulan Abu Shaar Bro dari Syria dan Pameran Turath Islami yang akan mempamerkan sejumlah Quran dan kitab agama bertulisan tangan dari zaman silam serta hasil seni berkaitan kitab turath.

Al-Imam Abu Zakaria Yahya bin Sharaf al-Nawawi hidup pada abad ke-7 Hijriah, pada zaman pemerintahan Dinasti Mamluk. Beliau adalah salah seorang ulama terulung mazhab Syafie dan mengarang banyak karya dalam pelbagai bidang, termasuk hadis, akidah dan feqh. Dikatakan sepanjang hayatnya yang sesingkat 45 tahun itu, beliau telah mengarang sekurang-kurangnya 50 buah kitab, mewakili lebih 40 halaman sehari sejak usia 18 tahun sehingga kewafatannya.

 

Antara kitabnya yang terkenal ialah Riyadhu as-Salihin dan sebuah himpunan hadis yang dikenali sebagai Arba’in al-Nawawi (Hadis 40). Dalam Festival Turath Islami Selangor kali kedua pada tahun 2024, dua kitab ini diangkat sebagai dasar bagi hampir semua acara dalam festival tersebut. Kitab Riyadhu as-Salihin terdiri dari 344 bab yang mengandungi 1,896 hadis. Banyak bab dalam kitab ini dibuka dengan petikan ayat Quran, menjadikan hadis dan atsar yang dipetik selepasnya sebagai sebentuk tafsir bagi ayat Quran berkenaan. Riyadhu as-Salihin mencakupi pelbagai topik, terutama akhlak, adab dan panduan ibadat.

 

Hadis yang terpilih dalam kitab Hadis 40 diambil sebahagian besarnya dari Sahih Muslim dan Sahih al-Bukhari. Kitab ini amat bernilai dan menjadi bacaan Muslim seluruh dunia sejak zaman-berzaman kerana ia menjelaskan dasar-dasar terpenting Syariah. Buah tangan Imam Nawawi ini dijulang sebagai yang terbaik dalam genre arba’iniyat atau dalam kalangan kitab himpunan empat puluh hadis yang pernah terhasil dalam sejarah.

IBDE dan Akademi Pemikiran Turath (APT) telah bekerjasama menerbitkan edisi Bahasa Melayu yang pertama di dunia bagi karya Al-Imam Dr. Ali Jum’ah ini.

Imam Nawawi dan Karyanya

bottom of page